MEMANDANGKAN uji bakat Akademi Fantasi AF2016 yang baharu sahaja melabuhkan tirainya Ahad lalu dijalankan pada bulan Syawal, beberapa peserta telah hadir dengan mengenakan baju Melayu dan baju kurung bagi mengekalkan mood sambutan Aidilfitri.
Menurut salah seorang juri uji bakat AF2016, Edry Abdul Halim, dia tidak menyangka bahawa ada peserta yang hadir dengan memakai baju raya.
“Uji bakat tahun ini memang banyak yang unik dan pelbagai ragam ditunjukkan semasa ujibakat. Yang saya tak sangka, ada peserta yang datang lengkap berbaju melayu siap dengan sampin sekali.
“Itu memang cara untuk menarik perhatian juri, tapi kami juga memastikan bakat dan hanya memilih yang bagus untuk ke peringkat seterusnya.
“Tetapi saya akui, mereka memang nampak kemas dan bersedia jadi pandangan pertama juri terhadap mereka itu bagus,” katanya kepada mStar Online.
Uji bakat kali ini bukan sahaja mengambil kira nyanyian, malah personaliti, lakonan dan tarian juga diambil kira. – MYNEWSHUB.CC