KUALA LUMPUR – Polis akan memburu habis-habisan empat lelaki yang terbabit dalam kes tembak seorang pemberi pinjaman wang di Jalan Danau Kota, Setapak, di sini, semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata suspek dipercayai masih berada dalam negara ini.
“Mereka (suspek) tidak boleh ke mana-mana, kita tetap buru mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan KPD Mart Community, kedai serbaneka pertama Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad di Kolej UNIKOP di sini, hari ini.
Mengulas kekerapan kes tembak sejak kebelakangan ini, Khalid berkata, setiap kejadian dilaporkan mempunyai sebab khusus dan bukan berlaku secara rambang. Beliau meminta semua pihak memberi ruang kepada polis menyiasat kes tembak yang dilaporkan termasuk di Setapak semalam.
“Kita percaya ada sebab ia berlaku tetapi kita lihat memang banyak senjata api haram dalam pasaran.
“Segala langkah perlu sudah, sedang dan akan diambil termasuk kawalan di sempadan dalam memastikan kejadian begini tidak terus berleluasa,” katanya.
Dalam kejadian jam 3.35 petang semalam, dua lelaki membonceng motosikal melepaskan 16 das tembakan ke arah Kandasamy Vathu, 43, yang memandu kereta Honda Accord ketika berhenti di lampu isyarat berhampiran pusat beli-belah Setapak Sentral.
Mangsa yang parah meninggal dunia di tempat kejadian manakala mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat hari ini. – BHarian Online