KOTA KINABALU – Polis trafik di sini mengeluarkan 161 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang dua hari Op Khas Halangan Lalu Lintas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang berakhir jam 9 malam tadi.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M.Chandra berkata daripada jumlah itu, 72 saman dikeluarkan kepada kenderaan jenis motokar, pacuan empat rodab (18), kenderaan pelbagai guna atau MPV (18), van persiaran (19) dan bas persiaran (8).
“Usaha penguatkuasaan saman terhadap pemandu yang ingkar kesalahan lalu lintas seperti halangan akan diteruskan bagi mengurangkan kesesakan serta melancarkan aliran trafik di balai ketibaan dan pelepasan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya penguatkuasaan ke atas kenderaan, termasuk yang diletakkan di bahu jalan atau rezab jalan yang telah diletakkan papan tanda, juga dilakukan bagi memberi keselesaan kepada pengguna kenderaan lain di lapangan terbang antarabangsa itu.
Menurut Chandra jika penguatkuasaan tidak diambil terhadap pemandu kenderaan yang tidak mengikut arahan papan tanda itu, ia boleh merosakkan landskap dan imej KKIA. – BERNAMA