BEBERAPA gambar memaparkan seorang budak lelaki berusia 10 tahun penuh kesan luka berbirat di badan dan kepala akibat dipukul seorang ustaz sebuah pusat tahfiz di Sungai Petani, Kedah kini tersebar menjadi viral di media sosial.
Gambar yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook yang bernama Shadam Zain sekali gus mengejutkan ramai.
Rata-rata menyelar tindakan ustaz berkenaan yang disifatkan tidak munasabah dan melampau.
Susulan viral yang tersebar itu, pihak polis telah menahan reman ustaz berkenaan bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md. Zukir Md. Isa berkata, suspek ditahan di Parit Buntar, Perak, kira-kira pukul 10.10 malam tadi.
Suspek, 27, yang merupakan ustaz ganti pusat tahfiz berkenaan dipercayai telah memukul tiga murid lelaki berusia 10 sehingga 12 tahun
Suspek dilaporkan bertindak sedemikian selepas tiga pelajar itu melarikan dari madrasah ketika solat Subuh. Kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Md. Zukir berkata polis telah mengambil keterangan daripada dua pelajar terlibat berusia 12 dan 10 tahun, masing-masing berasal dari Tikam Batu, Sungai Petani dan Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Seorang lagi mangsa bagaimanapun belum dapat dihubungi, katanya. Md Zukir berkata siasatan awal polis mendapati tiga mangsa dirotan kerana cuba melarikan diri dari maahad tahfiz itu ketika waktu subuh, Isnin lepas.
Beliau berkata suspek menemui pelajar terbabit berhampiran Ibu Pejabat Polis Kuala Muda lalu membawa mereka pulang sebelum dirotan di dalam bilik kuliah di hadapan rakan-rakan lain.
“Akibat kejadian itu, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan lebam pada badan dan luka di kepala,†katanya. – MYNEWSHUB.CC