PUTERI Umno Malaysia hari ini meraikan 100 anak-anak yatim dari tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan dalam satu majlis berbuka puasa yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Majlis itu dihadiri Ketua Pergerakan Puteri yang juga merupakan Timbalan Menteri Pelancongan & Kebudayaan Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Dalam majlis itu, Mas menyerahkan sumbangan raya dan duit raya kepada anak-anak yatim selain sumbangan telefonita kepada Pergerakan Puteri Umno di setiap bahagian di seluruh Malaysia.
“Dengan pemberian sumbangan ini diharap dapat memberi sedikit kegembiraan kepada anak-anak ini.
“Kita kena sentiasa bersyukur waima apa yang kita dapat sedikit pun hari ini, kita perlu mengucapkan syukur dan Alhamdulillah.
“Sempena kedatangan lebaran ini saya doakan Aidilfitri kita semua diraikan dalam penuh kesederhaan tapi penuh dengan kegembiraan,” katanya.
Majlis iftar itu turut diserikan dengan kehadiran aktres popular Fasha Sandha yang melancarkan hijab Koleksi Raya Fasha Sandha, Fasha Sandha by Milyunir.
Pada majlis itu juga, Fasha yang merupakan duta tudung Milyunir turut menggayakan salah satu rekaan tudung yang terdapat dalam koleksi rayanya itu. – MYNEWSHUB.CC