RAKYAT Malaysia yang kebetulan sedang transit di Turki turut terkena tempias apabila terperangkap di Istanbul berikutan insiden rampasan kuasa oleh kumpulan tentera.
Aizat Shamsuddin ketika itu sedang transit selama tujuh jam di bandar raya terbesar Turki tersebut dan dalam perjalanan dari Malaysia ke Afrika Selatan untuk menghadiri satu persidangan.
“Saya sudah biasa dengan Istanbul dan pernah datang ke sini sebelum ini. Ketika menaiki bas untuk balik ke lapangan terbang, berlaku kekecohan.
“Bas itu berhenti dan kami diberitahu untuk turun. Ia ambil masa kira-kira 10 minit ke lapangan terbang. Berlaku kesesakan lalu lintas teruk dan kami pun keluar dari bas,” katanya menerusi WhatApps kepada mStar Online.
Menurut Aizat, dia merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang berada dalam bas tersebut.
“Terdapat sekatan di simpang menuju ke lapangan terbang (Ataturk). Kami berada betul-betul di depan kereta kebal. Kami berhenti sekali lagi dan melihat ramai orang berkumpul di situ, malah ada membawa beg.
“Orang ramai tidak puas hati dan bertanya kepada mereka mengapa lapangan terbang itu ditutup sedangkan mereka tidak terlibat dalam rampasan kuasa. Kemudian berlaku pula kekecohan lain.
“Tentera melepaskan tembakan amaran. Saya berada kira-kira 500 meter. Ada yang berlari, ada juga yang tidak. Pada masa itu terdapat kumpulan penduduk di situ yang membantah rampasan kuasa,” katanya.
Bagaimanapun, Aizat bernasib baik apabila bertemu dengan seorang pramugari dari Turkish Airlines yang membawanya dan beberapa orang awam lain itu ke tempat selamat dengan keretanya.
Aizat kini berada di sebuah hotel yang terletak lebih kurang 5 kilometer dari lapangan terbang berkenaan dan telah menghubungi pihak kedutaan Malaysia di ibu kota Turki, Ankara.
Ekoran rampasan kuasa tentera pada Jumaat, semua penerbangan keluar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk Istanbul telah digantung.
Manakala akses kepada Facebook dan media sosial juga telah disekat.
Pun begitu, ada sesetengah pelajar Malaysia masih dapat berhubung melalui akaun media sosial menggunakan pelayan proksi. – MYNEWSHUB.CC