PADANG BESAR – Polis Perlis secara dasarnya tidak bersetuju dengan sebarang cadangan atau usaha mana-mana pihak untuk menjadikan ketum sebagai tanaman komersil dan dieksport ke luar negara.
Timbalan Ketua Polis Perlis, ACP Noor Mushar Muhammad berkata pengeksportan tanaman itu pastinya melibatkan kuantiti yang banyak dan dikhuatiri akan memberi implikasi lebih buruk.
“Usaha tersebut dilihat hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja, sedangkan kesan mudarat itu lebih banyak berlaku dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun Hari Kor Kadet Polis Ke-46 Peringkat Negeri Perlis di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPNPs) hari ini.
Noor Mushar turut mengambil contoh seperti yang berlaku di Golden Triangle (sempadan tiga negara antara Myanmar, Laos dan Thailand) yang merupakan kawasan tanaman ganja di mana ia didakwa bagi tujuan perubatan namun akhirnya menjadi aktiviti mengaut keuntungan semata-mata.
“Untuk melakukan itu (eksport daun ketum) adalah tidak releven, sedangkan sudah termaktub dalam undang-undang negara bahawa daun ketum merupakan sesuatu yang dilarang penggunaannya melibatkan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.
Semalam, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bercadang ingin mendapatkan kebenaran kerajaan untuk melaksanakan projek penanaman daun ketum secara berskala besar bagi memenuhi industri farmaseutikal dari negara luar.
Di Kangar pula, Pengerusi Kelab Pengguna Dewan Undangan Negeri (DUN) Sena dan Skuad Pengguna Parlimen Kangar, Saadiah Habil berkata RISDA disaran membuat kajian terlebih dahulu sebelum mengemukakan cadangan bagi penanaman pokok ketum secara besar-besaran itu.
Beliau berkata banyak alternatif lain untuk meningkatkan pendapatan para pekebun kecil seperti menggalakkan mereka menaman sayur-sayuran atau menternak ayam, kambing dan seumpanya dalam kawasan kebun getah.
“Diharap kerajaan dan semua pihak berkaitan akan memperhalusi cadangan berkenaan agar rakyat termasuk golongan pelajar dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan daun ketum,” katanya kepada Bernama.
Di ALOR SETAR, Kedah, Exco Kesihatan negeri Datuk Dr Leong Yong Kong berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan RISDA itu kerana bimbang segelintir masyarakat menyalahgunakannya untuk kegunaan peribadi.
Katanya Kedah masih dalam usaha untuk mengawal penanaman daun ketum dan kerajaan negeri telah mengambil langkah untuk merampas tanah-tanah yang dijadikan ladang ketum bagi mengekang penyalahgunaan air ketum dalam kalangan masyarakat negeri ini.
“Masalah dadah dan ubat khayal di Kedah membimbangkan, lebih 3,000 penagih baharu telah dikesan di Kedah pada tahun lepas. Bayangkan jumlah itu mungkin meningkat lagi apabila kelulusan untuk menanam daun ketum dibenarkan,” katanya kepada Bernama.
Malaysia meletakkan kesalahan penyalahgunaan ketum di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000, penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya tetapi bagi kebanyakan kes, pesalah hanya akan didenda.
Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri akan menyokong usaha penanaman daun ketum sekiranya ia terbukti berkesan dalam bidang farmaseutikal dan mendapat permintaan tinggi dari luar negara.
Beliau berkata Terengganu juga mempunyai dua taman herba dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) iaitu di Pasir Raja, Dungun dan Kuala Berang, Hulu Terengganu selain Taman Herba di Tasik Kenyir yang menjadi pusat penanaman segala jenis herba.
Mengenai penyalahgunaan tanaman itu terutamanya dalam kalangan anak muda, Ahmad Razif berkata perkara itu sudah tentu akan dikaji dengan terperinci dan menjadi keutamaan sebelum ia dilaksanakan. – BERNAMA