AGAK ngeri mendengar pelbagai pendedahan yang dibuat Presiden Turki, Racep Tayyib Erdogan ketika menghadapi detik-detik rampasan kuasa yang dilancarkan pihak tentera yang khianat beberapa hari lalu.
Kudeta selama lima jam itu bermula selepas tengah malam, membunuh 290 nyawa termasuk 165 anggota tentera yang khianat.
Dalam wawancara sejam bersama wartawan Becky Anderson, Erdogan, 64, mendedahkan detik-detik malam jahanam itu sebagai misi strategik untuk membunuhnya.
Untuk pertama kali, dunia mendengar rahsia besar di sebalik tabir kejadian yang menggemparkan itu. Misi sebenar, bukan sekadar menjatuhkan kerajaan demokrasi Tukri, tetapi merangkumi plot untuk membunuh pemimpin AKP itu, yang dianggap sebagai profil ahli politik Islam paling berpengaruh di dunia.
Erdogan ketika itu berada di Marmaris, lokasi percutian pantai mengadap lautan Mediteranean. Selepas tengah malam, dua bandaraya utama, Istanbul dan Ankara dihujani tembakan peluru yang bergema pada awal 11 Syawal.
“Setelah menyedari berlaku rampasan kuasa, saya mahu segera terbang ke Istanbul. Namun, inteligen memaklumkan saya memerlukan empat jam untuk sampai ke sana,” katanya tenang dalam wawancara eksklusif dengan CNN yang selama ini sentiasa bersikap ‘tidak mesra’ Erdogan.
Erdogan menjadi Presiden ke 12 Turki pada 28 Ogos 2014. Sebelum itu menjadi Perdana Menteri Turki pada 2003 hingga 2014 setelah Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) memenangi pilihanraya.
Menceritakan detik-detik tegang dan penuh maut pada malam kejadian, Erdogan menjelaskan, inteligen menasihatkan untuk tidak tergesa-gesa terbang ke Istanbul.
Katanya, dia tidak boleh berbuat demikian kerana Menara Kawalan Udara Lapangan Terbang Istanbul dikuasai pengkhianat. Malah, inteligen mendedahkan, sebahagian plot rampasan kuasa ialah menantikan beliau menaiki kapal terbang dan menggunakan laluan udara yang mudah dikesan.
Apa risikonya?
“Sekiranya saya menggunakan laluan udara, ia akan dikesan melalui menara kawalan di Istanbul. Pada masa itu, sudah ada pesawat tentera menanti untuk memintas dan menembak jatuh kapal terbang kami,” jelasnya.
Erdogan yang terkenal dengan kehebatan mengawal emosi pada reaksi wajahnya, menjelaskan dengan terperinci segala tindakan yang dirancang ketika dia nekad kembali ke Istanbul untuk muncul di khalayak ramai bagi membuktikan rampasan kuasa itu tidak berjaya.
“Kami mengatur tindakan pantas,” katanya: “Unit taktikal polis menyerbu dan mengambil alih menara kawalan udara. Setelah disahkan selamat, saya terbang pulang,” jelasnya.
Ini penjelasan pertama dan paling detils oleh Erdogan.
Matlamat utama rampasan kuasa menyasarkan pembunuhan ke atasnya. Cuma Erdogan memiliki barisan inteligen yang mahir menghidu plot yang dirancang. Pengkhianat memilih tarikh tengah malam 19 Julai kerana itu masa yang sangat strategik. Memandangkan Erdogan bercuti, ia detik terbaik untuk membunuhnya ketika berada di udara.
Huru-hara yang dicetuskan 3,000 tentera kudeta di Istanbul dan Ankara sebenarnya hanyalah umpan.
Matlamat utama pengkhianat, mahukan Erdogan segera terbang pulang pada tengah malam itu juga. Apabila pesawatnya berada di ruang udara dan berjaya dikesan, sebuah jet pejuang akan menembak jatuh kapal terbang tersebut.
Kematian Erdogan ialah plot utama. Soal merampas lapangan terbang dan beberapa lokasi strategik oleh pengkhianat hanyalah plot kecil untuk mengumpan Erdogan.
Justeru, tidak hairanlah mengapa pengkhianat melancarkan rampasan kuasa secara tergesa-gesa. Rupanya tindakan kudeta bukan bermotifkan untuk mengambil alih lokasi strategik dan menguasai lapangan terbang serta Bangunan Parlimen. Misi paling penting ialah membunuh Erdogan.
Banyak yang disentuh Erdogan dalam wawancara sejam itu. Namun paling mengejutkan ialah pendedahan plot pembunuhannya! – MYNEWSHUB.CC