AKTOR kacak Remy Ishak, sudah 10 tahun bertapak dalam industri seni tanah air. Namun dirinya melonjak naik setelah membintangi drama bersiri Nur Kasih bergandingan dengan Tiz Zaqyah.
Sepanjang 10 tahun bergelar anak seni, Remy mengambil masa selama 3 tahun untuk namanya meniti di bibir-bibir peminat drama tanah air.
Zalimie Ishak atau lebih dikenali sebagai Remy Ishak, 34, kini berbangga dengan segala hasil usaha yang dikecapinya sekarang adalah berdasarkan titik peluhnya selama ini.
Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Remy berkata, sama seperti tahun-tahun sebelumnya, dia menyambut lebaran bersama keluarga secara sederhana.
“Tiada persiapan berlebih-lebihan dan hanya melakukan persediaan yang mampu sahaja,” katanya ketika ditemubual oleh Mynewshub baru-baru ini.
Selain itu, menurut pelakon filem Redha ini, dia akan pulang menyambut hari raya di kampung halamannya di Melaka.
Tambah pelakon berkulit sawo matang ini, antara aktiviti yang dilakukan menjelang hari lebaran, dia banyak meluangkan masa bersama keluarga dan membantu ibunya menyediakan juadah hari raya.
Berkongsi perkembangan terbarunya, Remy bakal muncul dalam sebuah bual bicara Islamik, Klinik D’ Hijrah Istimewa Raya bersama pakar motivasi terkenal Datuk Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah.
Disamping itu, Remy juga sibuk menjalani latihan untuk sebuah filem bersama Khabir Bhatia, Remy juga sedang menjalani penggambaran drama bersiri bersama Uqasha Senrose, Khabar Dari Casablanca iaitu sebuah drama bersiri sebanyak 26 episod. – MYNEWSHUB.CC