BARU-BARU ini, pelakon Zain Saidin ada meluahkan pandangannya yang mahukan isterinya, Rozita Che Wan berhenti berlakon seterusnya memberi fokus kepada perniagaan sahaja.
Ini kerana Zain merasakan Rozita atau Che Ta sudah mempunyai nama yang kukuh dari segi populariti.
Bagaimanapun, Che Ta nampaknya belum bersedia untuk cuci tangan dalam dunia lakonan kerana merasakan bidang seni merupakan medan terbaik untuk mempromosi produknya.
Pun begitu, Che Ta menghormati pandangan suaminya yang tidak mahu dia terkejar-kejar masa.
“Memang Zain sangat prihatin. Saranannya supaya saya menumpukan saja perhatian terhadap perniagaan cukup saya hormati dan hargai kerana saya tahu dia tidak mahu saya terkejar-kejar masa.
“Apa pun saya sangat realistik berhubung perkara ini dan tidak mungkin akan meninggalkan kerjaya lakonan secara drastik.
“Sekarang ini pun saya sudah memperlahankan langkah dengan berlakon dengan produksi yang saya sudah biasa,” katanya.
Menurut Che Ta, populariti yang dikecapi sememangnya memberi impak kepada setiap barang yang dikeluarkan membuatkannya untuk terus berada dalam industri seni.
Antara bidang perniagaan yang diceburi Che Ta adalah menjual tudung, jubah, minyak wangi, losyen pemutih dan jus untuk kesihatan dalam.
Selain itu, Che Ta juga mempunyai syarikat produksi sendiri yang dinamakan Padusi Pictures. – MYNEWSHUB.CC