BEBERAPA kenalan telah menghubungi saya untuk bertanyakan sama ada saya akan memberikan reaksi kepada sidang media Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) semalam.
Sebenarnya, saya dan isteri kini sedang berada di Poland dan sebentar lagi akan memandu ke Austria, satu perjalanan yang bakal mengambil masa seharian.
Apapun, bagi memuaskan hati anda dan daripada dituduh mengelak untuk membincangkan isu ini, saya akan nukilkan pendapat saya mengenai isu ini namun seringkas yang boleh kerana saya akan berlepas ke Austria.
Pertama sekali, saya pernah melihat keterujaan yang sama sebelum ini, di mana akhirnya nanti akan pudar dan mati begitu sahaja. Lihat kepada kes yang dikatakan di mahkamah Perancis suatu ketika dahulu sebagai contoh.
Bukankah ia sepatutnya adalah satu perbicaraan yang bersifat terbuka melibatkan pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibbu?
Saya sangat teruja ketika itu hingga saya sendiri sanggup pergi ke Paris untuk menghadiri perbicaraannya dan turut disertai editor portal Free Malaysia Today.
Namun apa yang kami ketahui pada masa itu ialah, kami telah diberikan maklumat yang salah oleh Suaram. Ia bukanlah satu perbicaraan di mahkamah terbuka sebaliknya adalah siasatan tertutup di dalam kamar hakim.
Maka, ia bukan untuk orang awam malah ia bukanlah satu perbicaraan pun.
Dan kami ketahui kemudiannya ia bukanlah mengenai pembunuhan Altantuya sebaliknya sama ada terdapat rakyat Perancis atau syarikat yang terlibat dengan rasuah melibatkan penjualan dua kapal selam kepada Malaysia.
Dan siasatan itu adalah daripada aduan Suaram yang mendakwa mereka memiliki locus standi untuk membuat aduan, di mana kemudiannya dibuktikan sebagai aduan palsu.
Ia adalah satu anti-klimaks dan selepas bertahun lamanya, masih tiada lagi berita mengenai kononnya perbicaraan terhadap satu pembunuhan misteri.
Episod Jabatan Keadilan AS ini sebenarnya serupa sahaja dengan apa yang kami pernah didorong untuk mempercayai mengenai satu perbicaraan berlangsung di Perancis.
Dan selepas saya menonton video sidang media semalam, nampaknya Jabatan Keadilan AS lebih kepada mengesyaki daripada fakta yang sudah dibuktikan.
Dalam satu jawapan kepada soalan, mereka berkata siasatan masih lagi berjalan malah beberapa fakta masih tidak dapat disahkan lagi.
Adakah keterujaan di AS ini akan berakhir seperti apa yang berlaku di Perancis beberapa tahun lalu?
Malah pengadu kepada kes di Perancis itu sudah ditutup dan tidak lagi wujud. Selama beberapa tahun ini, tiada siapa memberitahu kami apa-apa mengenai perbicaraan yang tidak pernah wujud di mahkamah Perancis itu.
Maka, sebelum saya teruja dan bergegas ke Washington DC pula, sebagaimana yang saya lakukan ke Paris beberapa tahun lalu, kita lihat dahulu ke mana ini semua akan membawa kita akhirnya.
Jabatan Keadilan AS mengambil tindakan berdasarkan kepada aduan dibuat oleh orang Kempen Anti Najib (Anti Najib Campaign).
Saya masih ingat saya melakukan perkara yang sama 16 tahun lalu iaitu pada 2000 (ketika itu adalah Kempen Bebaskan Anwar atau Free Anwar Campaign – FAC).
Saya pergi ke Washington DC dan membayar satu firma melobi untuk mengetengahkan penahanan politik Anwar Ibrahim adalah bersandarkan kepada pertuduhan direka dan bukti palsu liwat kepada kerajaan AS.
Bagaimana ia dilakukan di AS, di mana saya sendiri sudah lakukan pada masa lalu ialah anda perlu bayar sebuah firma di negara itu sejumlah wang yang banyak dan mereka akan mendapatkan individu yang berkuasa untuk mendengar kes anda.
Akhirnya nanti, tiada apa akan berlaku (sama seperti kes Anwar yang saya bawa pada tahun 2000) tetapi anda pasti akan mendapat banyak perhatian (sebagaimana apa yang kami peroleh pada tahun 2000).
Saya tidak tahu siapa yang bekerja untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di AS (Anwar menggunakan saya pada tahun 2000).
Tetapi siapapun, Najib perlu memecat orang itu segera dan melantik orang lain yang tahu apa kerja mereka.
Jika Najib melantik saya dan memberikan saya satu bajet berjumlah ratusan juta, saya tahu apa yang perlu saya lakukan. Saya pernah lakukan ini untuk Anwar dan ia tidak sampai pun RM1 juta.
Tentu sekali, rakyat Malaysia yang tidak tahu bagaimana sesuatu itu dilakukan di AS akan teruja secara melampau.
Tetapi untuk kami yang tahu bagaimana ia dilakukan di belakang tabir, saya memilih untuk bertenang dan meneruskan perjalanan dari Poland ke Austria bersama isteri.
Apapun, kita akan bercerita lagi apabila saya tiba di Austria nanti. – Oleh Raja Petra Kamarudin