BANGKOK – “Kami orang Rohingya, jadi tolonglah panggil kami Rohingya,” demikian rayu Hajee Ismail, seorang aktivis Rohingya ketika ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, melawat Thailand dalam kujungan pertama beliau ke negara ini baru-baru ini.
Pejuang hak masyarakat Rohingya itu menaruh harapan tinggi terhadap Suu Kyi selepas parti pimpinannya mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya Myanmar yang amat bersejarah.
Antara perkara yang menjadi harapannya ialah agar Suu Kyi memperbaiki nasib dan kehidupan setengah juta masyarakat Rohingya di Myanmar, setelah mereka dizalimi sejak berpuluh tahun lalu.
Bagaimanapun, harapan yang diletakkan kepada Suu Kyi terus berubah menjadi kemarahan apabila wanita bergelar penjuang demokrasi itu bukan sahaja gagal menangani ketidakadilan yang menimpa kumpulan minoriti tersebut, malah enggan memanggil mereka sebagai Rohingya.
“Segala yang kami harapkan daripada tokoh demokrasi itu berkecai semuanya.
Kami benar-benar tidak menyangka pemenang Hadiah Nobel ini sanggup mengambil pendirian politik bersifat keras dan negatif serta tidak demokratik seperti itu,” katanya.
Selama ini, Hajee, yang memimpin pertubuhan Kumpulan Rohingya Thailand, menyangka pemimpin de-facto Myanmar itu, yang lebih mesra dengan panggilan ‘Amay Suu’ (Ibu Suu) oleh rakyat negara itu, termasuk masyarakat Rohingya, adalah pemimpin paling layak untuk menamatkan penderitaan masyarakat Rohingya.
Ternyata, beliau silap!
Menurut Hajee, walaupun Suu Kyi sudah berkuasa di Myanmar, beliau tidak nampak kaum Rohingya akan menikmati masa depan yang lebih cerah dan oleh itu, mereka amat kecewa serta merayu bantuan segera daripada dunia untuk membela nasib mereka.
Lawatan rasmi Amay Suu ke Thailand dari 23 hingga 25 Jun lalu adalah yang pertama baginya selepas dilantik sebagai Kaunselor Negara dan Menteri Luar Myanmar.
Dalam rangka lawatan itu, beliau mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri Thailand Jen Prayuth Chan-o-cha mengenai isu kepentingan bersama kedua dua negara.
Bagaimanapun, seperti diduga, isu mengenai nasib Rohingya tidak pernah dibincangkan kerana kedua-dua pemimpin itu memberi tumpuan terhadap usaha untuk menyelesaikan isu pekerja Myanmar di Thailand.
Suu Kyi menimbulkan kekecohan baru-baru ini kerana mengelak menggunakan istilah ‘Rohingya’ tetapi merujuk kepada kumpulan etnik itu sebagai ‘Bengali’ dengan alasan penggunaan istilah emotif itu akan menyulitkan usaha mencari penyelesaian bagi masalah berkenaan.
Seorang lagi aktivis Rohingya di Thailand, Maung Kyaw Nu, daripada Persatuan Rohingya Burma di Thailand, juga amat berharap Suu Kyi dapat menamatkan penderitaan yang ditanggung kumpulan minoriti itu sejak berpuluh tahun lepas, namun harapannya juga hancur berkecai.
Beliau menyifatkan keengganan Suu Kyi untuk mengaku kewujudan Rohingya di Myanmar sama seperti ‘membuang’ anaknya sendiri.
“Orang di Myanmar, termasuk Rohingya, memanggilnya Amay Suu (Ibu Suu) kerana kami menganggap beliau sebagai emak sendiri, tetapi apa yang dilakukannya terhadap kami (Rohingya) adalah umpama ‘membuang’ anaknya sendiri (dari rumah).
“Beliau tidak mahukan kami (Rohingya),” kata Kyaw Nu.
Sementara itu, bagi Nur Muhammad, yang meninggalkan kampung halamannya di Negeri Arakan, Myanmar, 20 tahun lepas untuk mengadu nasib di Thailand serta untuk mengelak daripada menjadi mangsa kezaliman berkata, segala cerita duka yang ada sekarang tidak melunturkan harapannya untuk menikmati masa depan lebih cerah.
“Kami tidak akan berputus asa,” katanya sambil memegang gambarnya bersama-sama sekumpulan penunjuk perasaan di hadapan kedutaan Myanmar di Bangkok yang menuntut pembebasan Suu Kyi daripada dikenakan tahanan rumah oleh rejim tentera beberapa tahun lalu.
Tahun lepas, satu lagi pusingan gerakan kezaliman berlaku di Arakan yang memaksa beribu-ribu masyarakat Rohingya melarikan diri dengan bot ke negara jiran, termasuk Malaysia dan Indonesia hingga mencetuskan krisis kemanusiaan serantau.
Sementara itu, Gabungan bagi Memperjuangkan Hak Pelarian dan Orang Tidak Bernegara (CRSP), yang berpejabat di Thailand, menggesa kerajaan Myanmar menyemak semula Undang-undang Kewarganegaraan Myanmar 1982, kata Setiausahanya Siwawong Suktavee.
Langkah itu, kata beliau, perlu diambil untuk menangani masalah orang Rohingya yang tidak bernegara dan mengembalikan kewarganegaraan kumpulan etnik itu yang sebelum ini diberi kewarganegaraan Myanmar. – BERNAMA