SEORANG pemandu kereta SUV nyaris terlibat dalam kemalangan setelah kenderaan dipandunya terpelanting ketika bergesel dengan sebuah kereta dalam kejadian penuh dramatik di Singapura.
Menurut laman sesawang berita negara itu, kejadian tersebut berlaku di Ang Mo Kio Ave 8 pada 10 Julai lalu.
Menerusi video pendek yang dimuat naik oleh Roads.sg, kereta SUV berwarna hitam itu mulanya dilihat memecut laju dari arah laluan paling kiri jalan berkenaan sebelum bergerak ke tengah dan menghampiri laluan paling kanan.
Dengan secara tiba-tiba SUV hitam itu seolah-olah hilang kawalan lalu melanggar bahagian bumper belakang sebuah kereta yang berada di laluan kiri menyebabkan kedua-kedua tayar SUV berkenaan terangkat ke udara.
Impak pelanggaran yang berlaku itu menyebabkan SUV tersebut hampir terbalik namun sempat mendarat dan meneruskan perjalanannya.
Manakala kereta yang bergesel dengan SUV mengalami kerosakan bahagian bumper belakang apabila dilihat jatuh di tengah jalan pada akhir video berkenaan.
Setakat ini belum lagi dapat dipastikan apakah punca sebenar kejadian itu berlaku. – MYNEWSHUB.CC