BESUT – Seorang penjaga kebun ditetak di kepala oleh pencuri yang menceroboh kebun di Felda Tenang, Hulu Besut, dan keesokannya, pencuri itu pula ditetak kerana sekali lagi menceroboh kebun berkenaan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, dalam kejadian pertama, Isnin lalu, penjaga kebun itu terserempak dengan penceroboh yang sedang menebang pokok pisang untuk mengambil pisang masak.
“Penjaga itu memarahi pencuri berkenaan yang datang dari Felcra Keruak. Namun pencuri itu menjadi marah dan menetak penjaga kebun itu sebelum melarikan diri,” katanya.
Penjaga itu cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Daerah Besut dan dirawat sebagai pesakit luar.
Menurut Mohd Zamri, penjaga berkenaan sekali terserempak dengan penceroboh itu keesokannya, dan sekali lagi berlaku pergaduhan antara mereka.
“Penceroboh itu kemudian ditemui pemilik kebun berkenaan yang meninjau kebunnya, terbaring di tepi sungai dalam keadaan luka dan berdarah,” katanya. – BERNAMA