KUALA LUMPUR – Persatuan Pelajar Malaysia di Turki (MASAT) mengesahkan tiada pelajar Malaysia yang terlibat dalam insiden cubaan rampasan kuasa terhadap kerajaan Turki pada Jumaat.
Presiden MASAT, Muhammad Ahmad Zahid pada masa sama menasihatkan semua pelajar atau rakyat Malaysia yang sedang berada di Turki agar sentiasa berhati-hati dan berhubung dengan pihak kedutaan untuk mendapatkan panduan keselamatan.
“Kepada yang berada di luar dan sedang mengikuti apa yang berlaku, saya ingin memperingatkan agar segala berita yang diterima dan dilaporkan mestilah ditapis terlebih dahulu.
“Tolong jauhkan dari membuat pelbagai spekulasi sebelum mendapat apa-apa pengesahan yang berautoriti agar akibat yang lebih besar dapat dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook persatuan itu hari ini.
Menurut Muhammad, secara keseluruhan seramai 250 pelajar Malaysia berdaftar dengan persatuan itu termasuk pelajar universiti dan sekolah.
Persatuan tersebut turut mengutuk sekeras-kerasnya cubaan rampasan kuasa itu bagi menggulingkan kerajaan Turki yang sah dan dipilih secara demokratik oleh rakyat Turki.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Turki serta rakyat Turki keseluruhannya yang berjaya membuktikan kepada dunia bahawa keberanian mereka telah menggagalkan segala cubaan dalam dan luar dalam menggugat kestabilan Turki,” katanya.
Menurut laporan, kenyataan tentera yang disiarkan media Turki pada Jumaat menyebut angkatan tentera merampas kuasa sepenuhnya bagaimanapun Presiden Erdogan berkata pada awal Sabtu bahawa cubaan rampasan kuasa itu telahpun gagal dan menggesa rakyat supaya menjunjung demokrasi.
Sementara itu pelajar tahun kedua jurusan pergigian di Universiti Marmara, Muhammad Basel Taha ketika dihubungi Bernama berkata ketika kejadian itu beliau berada di pusat beli-belah Taksim bersama dua orang rakannya untuk membeli cenderahati yang ingin dibawa pulang ke Malaysia, Isnin ini.
“Untuk pulang ke rumah kami perlu pergi ke satu lagi stesen pengangkutan awam di Kabatas. Dalam perjalanan kami mendengar pengumuman dari pihak pengangkutan awam di Turki yang memaklumkan perkhidmatan tram ditutup atas sebab-sebab tidak dijelaskan,” katanya.
Muhammad Basel berkata dalam keadaan tertanya-tanya dan tidak tahu apa yang berlaku, mereka terus keluar dari stesen tram berkenaan untuk menaiki bas atau teksi untuk pulang ke rumah di Sultan Ahmed.
Menurutnya semasa menunggu bas, mereka terdengar seorang wanita tempatan bercakap dalam bahasa Turki dan meminta tolong daripada orang ramai supaya menumpangkannya pulang ke rumah.
“Wanita itu berkata: Tolong bantu saya dan benarkan saya masuk kereta kamu. Saya hanya mahu pulang dengan selamat. Saya tidak mempunyai wang dan saya tahu sesuatu berlaku di Istanbul dan Ankara.
“Masa itu baru saya sedar sesuatu sudah berlaku dan terus buka laman sesawang berita di Turki dan mengetahui kejadian ini,” katanya.
Muhammad Basel berkata mereka cuba menunggu teksi dan bas, namun tiada pengangkutan awam yang mahu ke kawasan itu sehingga mereka terpaksa berjalan kaki kira-kira 10 kilometer dari Kabatas ke rumah mereka di Sultan Ahmed.
“Kami berjalan kaki hampir dua jam untuk sampai ke rumah sedangkan jika menaiki kenderaan awam masa perjalanan adalah kira-kira 20 minit,” katanya yang bersyukur kerana selamat dalam perjalanan itu.
Beliau merancang untuk pulang ke tanah air pada Isnin ini dan berharap semuanya berjalan lancar dan tiada penerbangan yang akan terkandas. – BERNAMA