KOTA KINABALU – Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah sentiasa bersedia menghadapi cabaran politik semasa termasuk kemungkinan kemunculan parti baharu pimpinan bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Sambil menyifatkan penubuhan parti baharu oleh ramai bekas pemimpin UMNO sebelum ini sebagai perkara lumrah, Yahya yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Sabah berkata UMNO dan BN tidak gusar sebaliknya akan menumpukan perhatiannya kepada memperkukuh kekuatan parti.
“Yang penting kita tahu, kita yakin bahawa UMNO dan BN masih kuat, masih disokong (oleh rakyat). Mengapa kita disokong? Kerana kita mempunyai polisi, misi yang baik dan jelas dan sudah terbukti. Yang (parti) baharu ini tidak tahu lagi.
Mereka (bekas pemimpin UMNO) ini juga pernah berkhidmat dalam (parti dan kerajaan) BN. Mereka juga boleh dihakimi…kita tidak mahu bersikap angkuh atau memandang kecil kepada orang lain tetapi kita sentiasa berjaga-jaga, berwaspada dan mempertingkatkan kekuatan parti kita,” katanya.
Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran bersama Majlis Daerah Putatan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Mahkamah Anak Negeri Daerah Putatan di sini hari ini.
Justeru, kata Yahya sekiranya orang lain menubuhkan parti baharu maka anggota dan kepimpinan UMNO dan BN pula akan bertekad memperkuatkan parti sedia ada.
Menurut Yahya UMNO dan BN teguh dan kuat kerana ia mempunyai misi dan visi yang jelas dalam mentadbir negara dan bekerja tanpa mengira musim untuk membawa kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat termasuk di Sabah serta menjamin keselamatan negara.
Katanya dalam BN, sekiranya pemimpin itu baik dan sememang kepimpinan sedia ada yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman adalah baik maka kepimpinan sedemikian perlu diberi sokongan penuh.
Menurutnya sokongan sedemikan perlu bagi memberi ruang kepada pemimpin untuk menumpukan perhatian kepada usaha membangunkan negara dan membawa kemajuan kepada rakyat tanpa gangguan yang tidak perlu.
Yahya berkata sejak UMNO bertapak di Sabah 25 tahun lepas, jelas bahawa Sabah menikmati kestabilan politik yang memberi ruang kepada kepimpinan negara dan negeri menumpukan perhatian kepada membangunkan Sabah dan rakyatnya.
“Ini boleh dibuktikan dengan pembangunan begitu pesat di seluruh Sabah, termasuk di Putatan ini. Dahulu di Putatan ini cuma terdapat sebaris kedai sahaja dan jalan pula sempit, tetapi lihatlah sekarang memang jelas berubah dalam tempoh masa UMNO dan BN memerintah negara,” katanya. – BERNAMA