MASJID negeri Selangor atau lebih dikenali sebagai Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dilaporkan terbakar, kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Difahamkan, asap tebal yang menenuhi ruang udara kawasan masjid itu datang dari sebuah bilik kuliah.
Akibat kebakaran tersebut, bilik kuliah berkeluasan 54 meter persegi berkenaan musnah sepenuhnya.
Perkara itu turut disahkan oleh Penolong Penguat Kuasa Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul.
Menurut Mohd Sani, pihaknya menerima panggilan berkenaan pada jam 2.21 petang tadi.
“Seramai 18 anggota dari Balai Bomba Shah Alam dikerah ke lokasi kejadian dan kebakaran dikawal pada jam 2.47 petang.
“Tiada mangsa berada di tempat kejadian dan siasatan masih dijalankan,” katanya.
Sementara itu, gambar insiden kebakaran itu kini menjadi viral di media sosial. – MYNEWSHUB.CC