SEJAK beberapa hari lepas, penduduk di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam digemparkan dengan penemuan pocong selepas rakaman video berkenaan hantu tersebut mula menjadi viral di media sosial.
Lembaga putih itu difahamkan ‘menetap’ di sebuah lokasi taman perumahan dan membuatkan penduduk di kawasan tersebut takut serta bimbang untuk keluar malam.
Rakaman video amatur berdurasi 20 saat menunjukkan kelibat pocong tersebut sedang berdiri tegak, sempat dirakam oleh sekumpulan remaja yang kebetulan melalui jalan tersebut.
Seram… Kelibat Pocong Muncul Di Klang oleh mynewshub
Bagaimanapun, Ketua Kampung, Mohd Salehan Tahir, menafikan dakwaan entiti itu dan mendakwa terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja mereka cerita untuk menakutkan 20,000 penduduk kampung berkenaan.
“Pocong tak wujud di kampung ini. Malam kelmarin saya dimaklumkan tentang khabar angin itu. Jadi kami telah berpakat dengan penduduk kampung untuk membuat rondaan bagi menjejaki kewujudan pocong itu.
“Mereka yang berkawal di Lorong Haji Bani dan Haji Bakar sehingga jam 4 pagi, tidak menemui apa-apa kesan,” katanya yang dipetik daripada laporan Sinar Harian.
Selain itu, mereka juga membuat lawatan dan pemeriksaan ke Tanah Perkuburan Islam Batu 8. Namun tiada sebarang kesan korekan pada kubur atau sebarang amalan khurafat di situ.
“Pocong yang dalam video itu, inilah dia. Orang Malaysia memang suka rekacipta hantu-hantu viral ini,” kata pengguna Facebook, Nabil Salbini yang mendedahkan gambar pocong diikat pada tiang pagar di Jalan Kebun. – MYNEWSHUB.CC