PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu seluruh warga Felda mengembleng tenaga, aset dan rangkaian sedia ada bagi meraih kejayaan yang lebih besar dan membela nasib peneroka sehingga ke generasi akan datang.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata matlamat asas penubuhan Felda yang telah dicapai dengan cemerlang, juga perlu dinikmati oleh generasi kedua dan ketiga komuniti Felda.
Untuk mencapai kejayaan itu, beliau berkata Felda perlu menggunakan segala kekuatan termasuk aset manusia dan rangkaian bagi mencapai kejayaan serta membuka peluang lebih luas kepada generasi akan datang.
“Oleh itu, saya mahu Felda menjadi sebuah kuasa besar ekonomi dan politik yang akan terus membela nasib peneroka sehingga ke generasi akan datang.
Kedua-dua ini adalah serampang dua mata bagi menjamin kelangsungan Felda.
“Bagi mencapai hasrat itu, komuniti Felda perlu bekerjasama sesama mereka dan di luar Felda bagi membina rangkaian dalam kalangan golongan profesional, usahawan dan yang berjaya dalam lapangan masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis Salam Perantauan Warga Felda 2016, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Najib turut menggesa warga Felda untuk terus menjamin mobiliti sosial di negara ini, selain meningkatkan pendapatan di kawasan luar bandar, memberikan tanah kepada mereka yang tidak mempunyai tanah serta membasmikan kemiskinan.
“Mobiliti sosial juga telah membolehkan 50,000 peneroka berpindah ke Lembah Klang dan bilangan yang boleh menjadi lebih tinggi,” katanya.
Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 10 Pengerusi Kluster Gabungan Pemikir Profesional FELDA (GAPROF).
Sambil mengucapkan tahniah di atas pelantikan itu, beliau berharap mereka akan bekerja dengan semangat dan penuh tenaga untuk menjayakan matlamat Felda mencapai hasrat kuasa besar ekonomi dan politik.
“Diharap lantikan itu juga dapat menjamin mobiliti sosial yang menjadi lebih ketara di dalam komuniti Felda. Dengan harapan ini, saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan teruskan perjuangan kita.
“Insya-Allah, kita harap dapat capai cita-cita dan impian untuk Felda dan negara kita secara keseluruhan,” kata perdana menteri. – BERNAMA