AKTRES versatil, Zulin Aziz kini melebarkan sayapnya dengan menceburi bidang radio pula setelah tampil sebagai penyampai baharu bagi stesen Suria FM.
Pelakon, pengacara dan pelawak ini berkata, antara sebab dia menerima tawaran tersebut kerana dia tidak perlu menjadi ‘plastik’ dengan menjadi diri sendiri untuk menghiburkan pendengar.
“Sejujurnya apabila saya berjumpa dengan pihak pengurusan Suria FM, mereka mahu saya jadi diri sendiri dan saya terus bersetuju.
“Sekiranya mereka meminta saya mengubah diri saya yang santai kepada serius mungkin saya akan berfikir dua kali sebelum menerima tawaran tersebut kerana saya tidak mampu memenuhinya,” kata Zulin kepada sebuah akhbar.
Zulin, 26 sememangnya mempunyai minat dalam bidang penyampaian radio namun terpaksa membantutkan hasratnya sebelum ini kerana memberi tumpuan kepada bidang lakonan.
Malah pengalaman menjadi deejay pengganti untuk stesen Hot FM dan Sinar FM menguatkan lagi tekadnya untuk bergelar penyampai radio.
“Saya memang sudah lama minat dengan bidang radio tetapi sebelum ini tumpuan saya lebih kepada lakonan.
“Bagaimanapun sejak kebelakangan ini saya tidak terlalu fokus kepada lakonan dan lebih banyak menjadi pengacara. Apabila tawaran ini datang saya fikir ini masa sesuai untuk memenuhi impian bergelar penyampai,” ujarnya.
Selain Zulin, Suria FM mengumumkan tiga lagi wajah baharu yang menyertai stesen milik Star Media Group itu berkuatkuasa hari ini iaitu Tyzo, Fizi dan Suraya. – MYNEWSHUB.CC