STESEN televisyen AlHijrah mengadakan satu pameran eksklusif, Artifak Rasulullah & Sahabat memaparkan barangan milik nabi junjungan, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat bagi meraikan pembukaan studio Al-Hijrah Big Studio (ABS) di Cyberjaya, hari ini.
Antara barangan peribadi milik Rasulullah yang ditayangkan pada pameran itu adalah seperti sandal, tongkat, busur, tapak kaki, janggut, serban dan darah bekam Nabi Muhammad SAW.
Selain itu, barangan milik para sahabat Nabi turut dibawakan khas dalam pameran tersebut seperti pedang sahabat milik Mu’adz Bin Jabal dan Khalid Bin Walid.
Mengenai studio ABS yang baharu memulakan operasinya bermula hari ini, TV AlHijrah menyediakan dua studio iaitu Studio A dan Studio B, masing-masing berkeluasan 800 meter persegi dan 250 persegi.
Studio A merupakan studio utama berperanan sebagai spot global untuk industri perfileman Islamik dan Studio B pula digunakan untuk tujuan penerbitan rancangan TV AlHijrah.
Baca: Media Perlu Bekerjasama Papar Islam Sebenar – TPM
Majlis perasmian ABS dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang kemudian meluangkan masa melawati tapak pameran Artifak Rasulullah & Sahabat.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Izelan Basar.
Menurut Izelan, ABS juga akan dipromosikan sebagai destinasi lawatan dan ziarah untuk pengunjung tempatan dan luar negara bagi melihat sendiri proses-proses pembikinan sesebuah program tv itu dijalankan.
“Tempat ini akan jadi tempat pelancong di mana mereka akan datang dan lihat macam mana rakaman dilakukan, untuk tunjukkan bagaimana saluran agama dibuat di sini,” katanya.
TV AlHijrah juga akan memperkenalkan tiga saluran tv baharu iaitu AlHijrah Kids, Hijrah Doku (Dokumentari) dan Hijrah Ilmu untuk memberikan kepelbagaian saluran buat penonton tanah air. – MYNEWSHUB.CC