BERLAKU sedikit kekecohan berpunca dari pergaduhan antara penyokong pasukan bola sepak Perak dan Johor Datul Takzim (JDT) selepas tamat perlawanan Liga Super 2016 di Perak, semalam.
Difahamkan, pergaduhan itu berlaku kerana terdapat pihak yang menyanyikan lagu dan melaungkan beberapa slogan provokatif sepanjang perlawanan berlangsung.
Pihak polis pada awalnya dapat mengawal keadaan, tetapi pergaduhan itu memuncak apabila beberapa penyakong JDT dibenarkan memasuki padang dan mula memprovokasi penyokong pasukan Perak.
Semasa kekecohan tersebut berlaku, seorang jurugambar, Supian Ahmad dilaporkan mengalami kecederaan dan kamera miliknya telah hilang dicuri.
“Saya tidak menyangka perkara seperti ini akan berlaku. Mereka beramai-ramai menyerbu saya dan merampas kamera saya. Saya terkejut,” kata Supian.
Baca: JDT Nafi Penyokongnya Punca Kekecohan
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan juga berada di kawasan kejadian dan dilihat cuba menenangkan penyokong Perak dan menggesa mereka supaya pulang ke rumah.
Pergaduhan ini bukan kejadian pertama yang berlaku antara penyokong pasukan Perak dan JDT.
Sebelum ini mereka pernah terlibat dengan pergaduhan yang lebih teruk pada tahun 2014 apabila cermin kereta Pengurus Pasukan Perak, Datuk Azhar Ahmad telah dipecahkan oleh penyokong JDT selepas kalah 2-0 semasa perlawanan Liga Super. – MYNEWSHUB.CC