SEOUL – Hadiah kemenangan cabutan loteri tempatan yang ‘malas’ dituntut ramai pemenang semakin meningkat setiap tahun, menurut akhbar bahasa Inggeris berpengaruh Korea Selatan, The Korea Times pada Selasa.
Para pemenang dilaporkan gagal menuntut hadiah wang tunai berjumlah 138.3 bilion won (kira-kira RM503.8 juta) daripada Lotto, agensi loteri paling popular di negara ‘kimchi’ tersebut dari 2013 hingga 2015, kata jawatankuasa loteri di Kementerian Kewangan Korea Selatan.
Hak untuk tuntutan hadiah Lotto akan berakhir selepas setahun keputusan pemenang diumumkan dan segala ganjaran yang ‘enggan’ dituntut itu lazimnya dikembalikan semula kepada dana negara diuruskan pihak kementerian berkenaan, lapor media tempatan.
Sebahagian besar hadiah yang tidak dituntut itu melibatkan pemenang untuk tempat kelima ke bawah dengan ganjaran hanya serendah 5,000 won (kira-kira RM18) dan ia membabitkan 63.9 peratus daripada keseluruhan pemenang loteri agensi pertaruhan judi tersebut.
Kementerian itu menyatakan bahawa daripada 18 juta pemenang yang ‘malas’ menuntut hadiah kemenangan mereka, seramai 13 individu merupakan pemenang tempat pertama yang melibatkan ganjaran keseluruhan berjumlah 21.8 bilion won (kira-kira RM78.7 juta).
Untuk tempoh enam bulan pertama pada tahun ini sahaja, seramai 2.97 juta pemenang loteri tidak mahu menuntut hadiah kemenangan mereka yang keseluruhannya berjumlah 26.4 bilion won (kira-kira RM95.3 juta) dengan tiga merupakan pemenang tempat pertama.
Seorang pegawai Kementerian Kewangan memberitahu akhbar tersebut, hadiah loteri yang enggan dituntut akan digunakan pula sebagai wang ihsan kebajikan daripada pihak kerajaan untuk membantu pelbagai kumpulan yang berpendapatan rendah di negara berkenaan.
Lotto yang turut dirujuk sebagai 6/45 telah diwujudkan sejak 2002 menjadi pilihan kebanyakan rakyat Korea Selatan untuk bertaruh kerana menawarkan hadiah menarik selain loteri Popcorn, Speeto500 dan Pension Lottery 520 yang juga disebut ‘Bok-Kwon’.
Kementerian Kewangan dalam pada itu bakal meningkatkan promosi kesedaran bagi menggalakkan pemegang loteri menyemak status cabutan terkini pertaruhan judi berkenaan terutama jika mereka diisytiharkan sebagai pemenang. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA