DUNGUN – Seorang bapa dan anaknya adalah antara enam individu ditahan polis kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Kampung Santong, Paka di sini, petang Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacob berkata kesemua suspek termasuk seorang wanita yang berumur antara 21 dan 47 tahun itu ditahan dalam serbuan pada pukul 2.30 petang hasil maklumat orang awam.
Polis turut merampas dadah dipercayai heroin seberat 167.98 gram bernilai RM5,200.
“Serbuan dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun itu menemui empat lelaki berada di ruang tamu manakala satu pasangan lelaki dan wanita berada dalam sebuah bilik.
“Empat daripada suspek pernah ditangkap beberapa kali dalam kes pengedaran dan memiliki dadah manakala lelaki dan wanita yang berada dalam bilik itu dipercayai pasangan kekasih,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan siasatan lanjut, kesemua suspek dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Paka selain menggunakan sendiri bahan terlarang itu.
“Siasatan lanjut juga mendapati bekalan dadah itu diperoleh dari luar Terengganu yang dibawa masuk untuk pasaran tempatan,” katanya.
Ahmad Zailani berkata kesemua suspek yang positif dadah dalam ujian air kencing, ditahan reman bermula semalam hingga 14 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA