SIBU – Tiga anggota tentera dari sebuah kem tentera di sini ditahan reman kerana disyaki melakukan penderaan hingga menyebabkan kecederaan ke atas seorang anggota junior kira-kira 12.30 tengah hari Ahad lalu.
Kejadian ini terbongkar apabila mangsa berusia 20 tahun menceritakan kejadian tersebut kepada bapanya pada Isnin.
Selepas mendengar kejadian itu, bapa mangsa yang merupakan bekas tentera berusia 70 tahun berasal dari Rawang, Selangor bertindak membuat laporan polis.
Bekas tentera itu tiba di bandar ini untuk menziarahi anaknya semalam dan balik petang ini.
Mangsa dikatakan dipukul dalam kejadian yang berlaku di berek bujang kem tersebut kerana gagal membekalkan makanan kepada ketiga-tiga rakan seniornya.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahari Abdullah ketika dihubungi berkata mangsa dimasukkan ke Hospital Sibu kerana mengalami kecederaan limpa namun dilaporkan stabil masa ini.
Beliau berkata ketiga-tiga suspek yang berusia antara 21 dan 31 tahun itu ditahan reman selama tiga hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. – BERNAMA