SEREMBAN – Polis menumpaskan geng pecah rumah dan curi kenderaan yang aktif di negeri ini dengan tertangkapnya lima suspek termasuk ketuanya dalam ‘Ops Pintu’ di sini, Isnin lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Nor Azman Muhammad Yusof berkata mereka yang berumur di antara 25 hingga 40 tahun itu ditahan di sebuah hotel di sini.
“Pihak polis turut merampas daripada mereka empat buah kereta yang dianggarkan bernilai RM400,000 disekitar Bahau dan Seremban. Kereta berkenaan dilaporkan hilang di Johor dan Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kesemua suspek kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol selama empat hari dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan. – BERNAMA