KUALA LUMPUR – Kira-kira 5,000 peserta hari ini menyertai program Kayuhan Sehati Sejiwa, sempena Bulan Kebangsaan 2016 yang diadakan di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini.
Kayuhan bermula di hadapan Dataran DBKL itu melalui beberapa jalan utama bandar raya ini membabitkan Jalan Raja Laut, Jalan Dang Wangi, Jalan P.Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum berakhir semula di Dataran DBKL.
Upacara pelepasan peserta bagi kayuhan sejauh tujuh kilometer itu disempurnakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz.
Dalam sidang media selepas upacara pelepasan itu, Sharifah Zarah berkata program kayuhan tahunan itu merupakan sebahagian daripada program yang dirancang sepanjang Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia mulai Julai sehingga Oktober ini.
Katanya program anjuran KKMM dengan kerjasama DBKL dan KL Car Free Morning bertujuan mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat negara ini.
“DBKL sentiasa memberi kerjasama yang baik dalam usaha kami (KKMM) untuk mengadakan Kayuhan Sehati Sejiwa pada pagi ini. Sebenarnya apa yang kita lihat hari ini menggambarkan inilah sebenarnya Malaysia.
“Kami (KKMM, DBKL) bersama-sama mengeratkan lagi silaturahim dengan adanya program seumpama ini. Ia dapat menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan rasa patriotik dan cintakan negara. Semangat seumpama ini yang cuba kami tanam,” katanya.
Mengenai sambutan terhadap kempen yang diadakan KKMM sepanjang Bulan Kebangsaan 2016, Sharifah Zarah amat berpuas hati dan memuji sikap rakyat negara ini yang memberi sambutan tidak terhingga saban tahun.
“Kami berasa amat bangga kerana usaha kami disambut baik seluruh rakyat Malaysia. Ke mana sahaja kami pergi termasuk Sabah dan Sarawak, kami dapat rasai semangat patriotisme penduduk setempat,” katanya sambil memuji semangat kecintaan rakyat Malaysia terhadap negara.
Antara program lain yang disusun sempena Bulan Kebangsaan 2016 adalah MERDEKA@komuniti, pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, Doa Untuk Malaysia, Karnival Merdeka dan Amanat Hari Kebangsaan. – BERNAMA