SETELAH lapan tahun menyepi dari industri hiburan tanah air, penyanyi Yasin kini muncul dengan single terbaharu iaitu berjudul Muzik untuk mengubat rindu para peminatnya.
Yasin atau nama sebenarnya Yasin Sulaiman, 41; berkata, masa yang lama diambil olehnya untuk menghasilkan sesuatu yang baru dan segar buat peminatnya.
“Hampir lapan tahun saya tidak tampil dengan karya baharu. Melihat perkembangan muzik yang ada sekarang saya perlu berhati-hati dalam pemilihan lagu.
“Generasi muda mungkin ada yang tidak pernah dengar lagu nyanyian saya sebelum ini. Disebabkan itulah saya ambil masa lama untuk memastikan lagu yang bakal bakal dipersembahkan bersesuaian dengan cita rasa pendengar masa kini,” katanya.
Meskipun telah lama di dalam industri hiburan tanah air, bapa kepada dua anak ini kagum dengan bakat yang dimiliki oleh Faizal Tahir dan tertarik dengan muzik yang dibawa olehnya.
Malah dalam penghasilan album terbaharunya Yasin turut berkolaborasi dengan Faizal Tahir dalam mencari konsep yang sesuai untuk album baharunya.
“Ketika timbul keinginan tampil dengan lagu baru, saya cuba mencari konsep sesuai. Saya tidak mahu sesuatu yang mengundang tekanan tetapi lebih kepada santai dan tenang sahaja.
“Kerana itu Muzik menjadi pilihan saya untuk diperkenalkan sebagai single pertama. Malah Muzik akan jadi judul album saya nanti.
“Jika sebelum ini koleksi lagu saya lebih kepada cinta kepada Tuhan, kali ini saya mahu ketengahkan cinta sesama manusia,” katanya.
Selain sibuk dengan penghasilan album baharunya, Yasin turut merancang perjalanan karier seninya untuk 10 tahun akan datang dan menyatakan hasrat untuk mengadakan konsert.
“Kehadiran single dan album baru ini adalah permulaan untuk saya kembali aktif dalam industri muzik tanah air.
“Saya juga kena rancang masa depan dengan bijak. Usia pun semakin meningkat dan selepas 10 tahun mungkin saya akan berehat dan fokus dengan kerja belakang tabir sahaja.
“Kalau boleh saya mahu buat konsert. Insya’Allah,” katanya. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Harian Metro Online