JEMPOL – Sebanyak 8,400 unit rumah untuk generasi kedua tanah rancangan Felda yang sedang dibina di seluruh negara dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan, kata Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Beliau berkata rumah yang berharga RM90,000 seunit itu kini telah memasuki fasa akhir pembinaan.
“Sekarang ini kita sedang tumpukan kepada (pembinaan) perumahan RM70,000 seunit seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)… ini akan kita tunaikan.
“Kita juga akan putuskan pemaju yang mempunyai kewangan yang cukup baik dan boleh melaksanakan projek perumahan dengan cepat. Saya percaya baki lebih kurang 11,000 unit rumah itu akan dapat kita laksanakan dan ia akan dimulakan Insya-Allah paling lewat penghujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Wacana Za’ba di sini, hari ini.
Mohd Isa berkata dalam usaha mempercepatkan pembinaannya, kesemua rumah berkenaan akan menggunakan kaedah Sistem Pembangunan Industri (IBS).
Perdana menteri pada Oktober tahun lepas dalam pembentangan Bajet 2016 dipetik sebagai berkata sebanyak 20,000 unit rumah bagi generasi kedua peneroka akan dibina oleh Felda dengan harga maksimum diturunkan kepada RM70,000 berbanding RM90,000 sebelum ini.
Mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya Felda berhadapan krisis kewangan khususnya dalam meneruskan projek pembangunan rumah generasi kedua, Mohd Isa berkata ia adalah tidak benar, malah menegaskan projek berkenaan akan diteruskan.
“Bagi perumahan generasi kedua, Felda sedang tunggu kelulusan daripada pihak bank. Kita tak boleh membuat perumahan generasi kedua Felda menggunakan duit Felda sepenuhnya, perlu ada pinjaman.
“Kita juga sebenarnya telah dapat kelulusan daripada bank, tapi dalam keadaan sekarang, bank telah mengurangkan pinjaman… (bagaimanapun) kita sedang berbincang dengan institusi kewangan yang lain kerana pinjaman yang nak dibuat bukan kecil melibatkan hampir RM2 bilion,” katanya. – BERNAMA