PUTRAJAYA – Ahli Pembimbing Akrab Siswa Politeknik perlu meningkatkan kebolehpasaran dan kemahiran kerana ia berpotensi tinggi untuk mengisi kekosongan dalam perkhidmatan awam pada masa depan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching.
Beliau berkata kumpulan tersebut mempunyai bakat kepimpinan dan kemahiran generik pelajar yang diterapkan melalui aspek psikologi dan kaunseling.
“Akrab Siswa yang membawa maksud Amanah, Komitmen, Rasional, Akhlak dan Bestari merupakan ciri-ciri yang perlu sentiasa diamalkan oleh pelajar politeknik agar dilihat sebagai seorang ‘role model’ yang boleh dicontohi.
“Ini penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kompeten Politeknik Malaysia dipertingkatkan ke tahap yang dikehendaki oleh kerajaan dan pihak berkepentingan,” katanya selepas menyampaikan Sijil Pentaulihan Akrab Siswa Politeknik kepada 139 pelajar dan 19 jurulatih dari seluruh negara di sini hari ini.
Akrab Siswa bermula tahun lepas merupakan program asas Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) iaitu hasil usaha strategik antara Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Pendidikan Politeknik.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pendidikan Politeknik Mohd Ghaus Ab. Kadir dan ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam Sadli Osman.
Sementara itu, Sadli berkata pelajar yang mengikuti beberapa siri latihan berbentuk bengkel dan modul latihan bertujuan memenuhi keperluan tuntutan semasa dalam memperkasakan pembangunan modal insan dalam sistem pendidikan Teknikal dan Vokasional. – BERNAMA