KUALA LUMPUR – Seorang peniaga nasi lemak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas pertuduhan mengugut bapanya dengan pedang samurai, minggu lepas.
Kamarul Ad-Din Kamarulzaman, 23, didakwa menakutkan secara jenayah kepada Kamarulzaman Shafie, 68, yang juga peniaga nasi lemak, dengan mengugut dan mempamerkan sebilah pedang samurai dengan niat mendatangkan ketakutan kepada mangsa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan terbuka di Jalan Teratai 1/1, Taman Bukit Teratai, di sini pada 1.30 tengah hari, 30 Julai lalu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak menawarkan wang jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Kamarul Ad-Din yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah itu dikurangkan dengan alasan dia yang belum berkahwin hanya bekerja membantu ibunya berniaga nasi lemak.
Majistret Haslinda A. Raof membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu pengadu dan saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 8 Sept untuk sebutan semula kes. – BERNAMA