BUKIT MERTAJAM – Anggota polis yang terlepas tembakan sehingga isteri dan dua anaknya cedera di rumah mereka di Tasek Gelugor dekat sini Ahad lalu kini menerima rawatan psikiatrik Hospital Pulau Pinang.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk, Abdul Ghafar Rajab berkata anggota berusia 33 tahun dan telah berkhidmat dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) selama sembilan tahun itu dirawat sejak semalam bagi mengetahui tahap kesihatan mentalnya.
“Polis telah mendapat perintah reman selama empat hari ke atas anggota itu dan dia dirujuk ke wad psikiatrik untuk rawatan bagi kita mengetahui punca dia bertindak sedemikian.
“Kami akan menunggu laporan daripada pakar psikiatrik sebelum mengambil sebarang tindakan susulan bagi kes itu termasuk memberi rawatan ke atas anggota berkenaan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutupan Seminar Pemantapan Intergrasi dan Profesionalisme di Politeknik Seberang Perai, di sini hari ini.
Insiden tersebut berlaku kira-kira 4 petang semasa anggota polis tersebut yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara dikatakan mengeluarkan pistol jenis Walther P99 sambil memaklumkan kepada keluarganya dia hendak membunuh diri, di rumah mereka di Kampung Setol.
Akibat tembakan itu, jubin lantai di bilik berkenaan berkecai dan terkena isteri, anak perempuan dan anak lelaki anggota polis itu sehingga mereka cedera pada tapak kaki kiri, betis kanan dan tapak kaki kiri serta kanan.
Mengulas lanjut, Abdul Ghafar berkata kes seperti itu adalah terpencil dan anggota berkenaan adalah seorang yang berdisiplin serta tidak pernah dikenakan tindakan tata tertib sebelum ini.
“Anggota itu boleh dikatakan seorang yang baik dan patuh pada arahan, cuma kita hairan mengapa dia bertindak sedemikian kerana tindakan serta perbuatannya itu telah melampaui perbuatan seorang yang normal.
“Kalau murung atau ada masalah, kita ada kaunselor untuk memberi kaunseling tetapi berdasarkan siasatan awal polis, anggota itu mendakwa dia mendengar suara-suara halus yang memaksa dia bertindak sedemikan (terlepas tembakan),” katanya.
Polis juga akan menjalankan siasatan sama ada anggota itu bertindak sedemikian kerana masalah tekanan kerja, katanya. Abdul Ghafar.
Abdul Ghafar berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya akan mengambil tindakan dari segi undang-undang dan disiplin ke atas anggota berkenaan jika didapati dia bersalah.
Beliau berkata isteri anggota itu yang berusia 27 tahun dan dua anaknya yang masing-masing berumur tiga serta lima tahun masih dirawat di Hospital Seberang Jaya kerana perlukan pemantauan dan pemeriksaan pakar.
Beliau turut menasihatkan kepada pegawai dan anggota polis di Pulau Pinang yang mengalami masalah kemurungan, psikologi atau tekanan kerja supaya mendapatkan khidmat kaunseling bagi mengatasi masalah mereka serta mengelak kejadian seumpama itu berlaku pada masa hadapan.
Katanya ketika ini terdapat 10 kaunselor bertauliah yang berkhidmat di kontijen polis Pulau Pinang. – BERNAMA