KUANTAN – Anggota dan pemimpin UMNO diingatkan jangan leka dan selesa dengan kuasa dipegang Barisan Nasional (BN) masa kini, sebaliknya perlu memperkukuhkan perpaduan dan berjuang dengan ikhlas untuk memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Tan Sri Noh Omar ketika memberikan peringatan itu berkata UMNO perlu mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di Selangor apabila parti itu dan BN hilang kuasa kerana terlalu selesa dengan kemenangan diraih dalam PRU 2004.
“Semasa PRU 2004, kita di Selangor menang besar dengan menyapu bersih 22 kawasan Parlimen dan 54 daripada 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini menyebabkan kita selesa dan yakin akan terus memegang kuasa di Selangor.
“Tetapi apabila berlaku tsunami politik pada PRU 2008, kita kecundang dan hanya mampu menang 20 kawasan DUN. Apabila PRU 2013 daripada 20 kerusi yang kita ada di DUN, kita kalah lagi dan hanya tinggal 12 kerusi sekaligus membolehkan pembangkang memperoleh dua pertiga majoriti untuk memimpin Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan persidangan perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Paya Besar di sini malam tadi. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Paya Besar Datuk Seri Abdul Manan Ismail, Ketua Pemuda UMNO bahagian Mohd Shahar Abdullah dan Ketua Puteri bahagian Faridah Mat Firu.
Akibat kehilangan kuasa, Noh berkata UMNO dan BN kini diperlakukan seperti ‘pengemis’ di bumi Selangor walaupun kemajuan dan pembangunan yang ada di negeri itu dilakukan semasa BN menjadi pentadbir di negeri itu.
“Kita buat dewan, buat balai raya selama memerintah, namun apabila kita kalah kita jadi pengemis. Nak minta guna dewan pun tak dapat, walaupun sudah tempah awal, saat-saat akhir mesti akan batal sehingga hendak buat jamuan hari raya pun tidak dapat,” katanya.
Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, amat sukar bagi UMNO dan BN untuk mencapai kemenangan jika anggota parti terus bertelingkah dan tidak menunjukkan taat setia kepada pucuk pimpinan parti. – BERNAMA