YAN – Tiga nelayan yang hanyut kira-kira lapan jam selepas bot pukat tunda mereka karam akibat dipukul ombak kuat, berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kira-kira enam batu nautika dari Pulau Bunting dekat sini.
Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Kedah Left Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata kesemua mangsa yang terdiri daripada dua nelayan tempatan berusia 55 dan 61 tahun serta seorang awak-awak warga Thailand berusia 19 tahun, diselamatkan oleh Bot Penggalang 35 yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan tersebut pada 10 pagi tadi.
“Kesemua mangsa ditemui terapung dengan memakai jaket keselamatan dan berada dalam keadaan kesejukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata mangsa kemudian dibawa ke Jeti Penumpang Tanjung Dawai sebelum dihantar ke Hospital Yan untuk rawatan lanjut.
Katanya, bot nelayan terbabit dipukul ombak pada malam Selasa sebelum dipercayai karam kira-kira 2 pagi tadi selepas dimasuki air.
Menurutnya, bot nelayan terbabit beroperasi secara sah dan turun ke laut dari Jeti Kuala Kedah sejak dua hari lepas.
Sehubungan itu, Ahmad Kamal turut mengingatkan orang ramai khususnya nelayan supaya mendapatkan maklumat laporan kaji cuaca terkini sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini. – BERNAMA