KAEDAH rawatan tradisional berbekam kini menjadi kegilaan dalam kalangan atlit Amerika Syarikat (AS) lebih-lebih lagi sejak ia mula diamalkan jaguh renang negara itu sendiri, Michael Phelps.
Tanda lebam di bahagian badan Phelps sebelum ini telah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat AS yang masih belum terdedah sepenuhnya dengan kaedah rawatan tradisional masyarakat Cina itu.
Kaedah rawatan terapi bekam bukan sahaja popular dalam kalangan atlit renang AS, sebaliknya atlit olahraga dan padang mereka turut menggunakan rawatan cara itu untuk meningkatkan prestasi mereka.
Menurut Pakar Prestasi Sukan AS, Ralph Reiff, amalan bekam merupakan salah satu daripada cara yang paling mujarab dalam kaedah rawatan alternatif untuk pasukan mereka.
Menurut Reiff, stafnya mempelajari teknik melakukan bekam dengan betul ketika melawat China sebelum ini.
“Berbekam dapat memperbaiki tisu-tisu dan otot-otot badan atlit sekali gus menambah baik ketahanan otot mereka.
“Pihak kami sentiasa berhati-hati melakukan bekam dengan hanya membenarkan staf yang terlatih sahaja melakukannya mengikut langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan,” kata Reiff. – MYNEWSHUB.CC