HUJAN lebat yang luar biasa sejak awal pagi Selasa menyebabkan banjir kilat di Jalan Lapangan Terbang Subang sehingga berlaku kesesakan lalu lintas.
Difahamkan, air telah meningkat dengan mendadak antara pukul 7.30 pagi hingga 8.20 pagi.
Beberapa keping gambar dimuat naik netizen pagi tadi, memperlihatkan ratusan buah kereta terkandas akibat banjir kilat tersebut.
Kedua-dua arah jalan menghala ke Jalan Lapangan Terbang Subang dan Kuala Lumpur turut sesak.
Paling teruk adalah jalan menghala ke Kuala Lumpur apabila hanya satu lorong yang boleh digunakan selepas jalan tersebut dipenuhi air.
Difahamkan, keadaan tersebut berterusan selama satu jam sebelum hujan berhenti. – MYNEWSHUB.CC