ALOR SETAR – Anggota keluarga disaran untuk membantu ‘anak dara emas’ yang masih belum berkahwin mencari pasangan hidup bagi mengelak golongan itu terjebak dengan pelbagai masalah antaranya penipuan di Internet yang didalangi warga asing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pihak keluarga tidak sepatutnya membiarkan anak mereka mencari jodoh sendiri memandangkan golongan tersebut mungkin sibuk dengan tugasan serta kerjaya masing-masing.
“Persoalan ini perlu difikirkan semua pihak dan anak-anak kita pada hari ini supaya mengambil perhatian tentang calon pasangan mereka yang mungkin disebabkan faktor kesibukan kerjaya, mereka tidak sempat memikirkan untuk mencari pasangan hidup mereka,” katanya kepada pemberita.
Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Agama Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid menyaran agar semua pihak memberi perhatian kepada golongan anak dara emas seperti pensyarah dan ahli akademik yang belum berkahwin yang akhirnya terjebak dengan penipuan di Internet. – BERNAMA