TERENGGANU: Seorang bekas anggota tentera ditemui mati dibahagian dapur rumahnya yang terletak di FELDA Kerteh, Dungun lewat petang Isnin lalu.
Mangsa berusia 27 tahun itu ditemui oleh adiknya dalam keadaan terbaring di dapur kira-kira jam 6 petang.
Sebaik sahaja adik mangsa melihat abangnya terbaring, dia segera memanggil ayahnya yang berada di luar rumah sebelum membawa mangsa ke Hospital Dungun.
Selepas mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan, bapa mangsa yang juga merupakan seorang peneroka terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun.
Mangsa merupakan anak ketiga daripada enam beradik dan dikatakan mengalami kemurungan sejak empat bulan lalu selepas kematian ibunya.
Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacub, jenazah mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun sebelum dituntut oleh keluarga pada jam 11 malam, hari yang sama.
Siasatan polis mendapati kes terbabit tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan menyifatkannya sebagai mati mengejut. -MYNEWSHUB.CC