SEOUL – Rakyat Korea Selatan masih bertutur bahasa Inggeris pada tahap kefasihan sederhana di sebalik ramai sanggup belanja besar belajar bahasa antarabangsa itu, menurut laporan akhbar berpengaruh The Korea Times.
Penemuan cukup mengejutkan itu hasil kajian sebuah firma pendidikan bahasa Inggeris antarabangsa, Education First berpangkalan di Amerika Syarikat terhadap penggunaan bahasa tersebut melibatkan perbandingan di 70 buah negara bukan bahasa ibunda Inggeris.
Warga Korea Selatan disenaraikan pada kedudukan ke-27 di peringkat antarabangsa dengan memperoleh 54.52 mata, jauh di belakang Singapura (ke-12), Malaysia (ke-14) dan India (ke-20) namun berada di atas jirannya, Jepun (ke-30), Taiwan (ke-31) dan China (ke-47).
Di peringkat global, tempat pertama disandang Sweden diikuti Belanda, Denmark, Norway, Finland, Slovenia, Estonia, Luxembourg, Poland, Austria dan Jerman. Manakala posisi paling bawah ialah Libya, Kemboja, Arab Saudi, Algeria, Iraq, Kuwait, Mongolia dan Qatar.
Kedudukan Korea Selatan bagaimanapun masih stabil dibandingkan dengan beberapa negara tertentu antaranya Itali (ke-28), Indonesia (ke-32), Perancis (ke-37), Rusia (ke-39), Mexico (ke-40), Pakistan (ke-45), Turki (ke-50), Mesir (ke-55) dan Thailand (ke-62).
Baca: Moyang Pemabuk Punca Dialek Inggeris Australia Pelat
Laporan tahunan Education First tersebut mendedahkan, tahap kefasihan bahasa Inggeris rakyat Korea Selatan jatuh tiga ‘anak tangga’ berbanding tahun sebelumnya waima mengekalkan kedudukan sebagai negara paling banyak berbelanja untuk pendidikan bahasa itu.
“Penduduk Korea Selatan belanja AS$18.4 bilion (kira-kira RM73.9 bilion) untuk pendidikan persendirian sepanjang 2013 dengan satu pertiga diperuntukkan hanya untuk belajar bahasa Inggeris, namun kadar kefasihan tidak banyak pula berubah,” kata firma tersebut.
Pakar Education First memberitahu, pendekatan rakyat Korea Selatan yang lebih kepada berorientasi peperiksaan menyebabkan mereka cuma belajar untuk menghadapi ujian formal di sekolah dan bukan sebagai menambah baik tahap kefasihan pertuturan seharian.
“Mereka belajar untuk dapat markah tinggi dalam peperiksaan berbanding baiki komunikasi bahasa Inggeris dan inilah alasan utama kefasihan tidak efektif waima sanggup belanja besar ikuti kelas tambahan dan beli buku rujukan,” kata pakar berkenaan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA