SAMA ada memang kurang ajar atau tidak sensitif, jika tahun lalu, umat Islam di Pulau Pinang gempar dengan kehadiran permainan jongkang-jongket menyerupai babi, kali ini senario hampir sama menjadi sensasi di negeri itu.
Lebih malang, masyarakat Islam Pulau Mutiara dihina apabila pembinaan patung beruang berwarna emas di Padang Kota Lama, George Town itu jelas memaparkan sepotong ayat daripada Hadis Rasulullah SAW yang diukir kemas di bahagian punggung haiwan liar tersebut.
Perkara itu didedahkan beberapa netizen tempatan sejak semalam dan patung mamalia tersebut dipercayai dibina badan bukan kerajaan yang memang dikenali sering mempromosikan persamaan antara agama termasuk kalangan Muslim berfikiran bebas liberal pluralisme.
Ini kerana pihak yang membina haiwan itu dilihat mempermainkan maksud sebenar ayat diukir di belakang patung beruang itu bermaksud “Tidak beriman seseorang antara kamu sehinggalah dia sanggup mengasihani saudaranya sebagaimana dia mengasihani dirinya sendiri.”
Baca: ‘Babi’ Di Taman Permainan, MBPP Diselar Orang Ramai
Walhal jika diteliti, konteks ayat Nabi Muhammad SAW itu sebetulnya merujuk kepada persaudaraan sesama umat Islam yang dituntut saling sayang-menyayang antara satu sama lain untuk menjadi Muslim Mukmin dan tiada kena-mengena dengan kesamarataan agama.
Sedihnya, patung beruang itu dibina di Padang Kota Lama, lokasi sama pemainan kanak-kanak berbentuk babi mencetuskan kontroversi sehingga mencetuskan bantahan keras daripada umat Islam sebagai penghinaan secara tersirat oleh pihak tertentu di Pulau Pinang.
Persoalannya, bagaimana patung tersebut boleh diluluskan pembinaannya oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan adakah penggunaan Hadis Rasulullah SAW yang masyhur itu sudah terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada pihak Majlis Agama Islam Pulau Pinang?
Amatlah malang jika benar ada umat Islam menyokong gerakan halus pihak terbabit walaupun mungkin niat baik namun tindakan mereka mahu menjayakan matlamat menghalalkan cara bukan amalan kaedah dakwah dan dibimbangi menjejaskan akidah. – Mynewshub.cc/HAA