PENYANYI Bila Najmi atau nama sebenarnya Nurnajmi Nabila Samsaidi menzahirkan rasa gembira apabila rakaman nyanyiannya di Instagram mendapat perhatian penyanyi antarabangsa, Meghan Trainor.
Menurut Bila, 19, dia berasa terkejut apabila mendapat notifikasi Instagram yang menunjukkan bahawa penyanyi kegemaraanya itu menyukai rakaman tersebut.
“Meghan Trainor merupakan antara contoh penyanyi yang terbaik untuk saya. Saya memang sukakan dia dan memang suka membuat ‘cover’ lagunya.
“Baharu-baharu ini saya ada menyanyikan lagu terbaharunya, No dan saya memuatnaik di Instagram untuk dikongsi bersama peminat. Tak pernah terlintas Meghan Trainor akan tengok video saya.
“Masa dapat notification tu, saya rasa berdebar dan tak percaya. Saya macam jadi ‘gila’ sampai ayah saya tegur kenapa saya tak tentu arah.
“Saya rasa terharu, siapa sangka artis antarabangsa tengok video kita kan, itu telah memberi semangat kepada saya. Walaupun saya rasa ia terlihat video tersebut kerana ia merupakan lagu dia, tetapi rasa teruja itu memang tak dapat dielak,” katanya kepada Astro Gempak.
Dalam pada itu mengulas mengenai kerjaya seni, Bila yang juga merupakan anak kepada pemain bass kumpulan Wings, Eddie memberitahu bakal mengeluarkan single terbarunya tidak lama lagi. – MYNEWSHUB.CC