MESKIPUN mengalami cacat penglihatan sejak dilahirkan, seorang kanak-kanak berusia 5 tahun mampu menghafal beberapa surah panjang di dalam kitab suci al-Quran.
Menurut laman berita Arab News, Hussein Mohammad Tahir yang menetap di Jeddah, Arab Saudi bersama bapanya yang merupakan warganegara Myanmar menghafal surah-surah berkenaan hanya dengan mendengar melalui siaran radio tempatan.
Kebolehan unik yang dimiliki oleh Hussein meskipun buta kemudian hanya disedari oleh Tahir setelah tiga tahun dia membelikan anaknya itu dengan radio tersebut.
Jelas Tahir kepada laman berkenaan, dia menetapkan frekuensi radio yang dibelinya itu kepada sebuah stesen yang hanya memainkan ayat-ayat suci sepanjang 24 jam tanpa henti untuk memupuk dan menanamkan minat belajar al-Quran.
“Saya langsung tidak menyangka anak saya memperoleh faedah daripada radio dengan menghafal al-Quran,” katanya.
Ketika berpindah dari Jeddah ke Madinah, Hussein meminta bapanya itu membawanya ke Masjid Nabawi.
“Di sana, dia membaca seluruh surah Al-Baqarah di masjid berkenaan. Saya sungguh terkejut,” ujar Tahir.
Untuk mengesahkan kemampuan anaknya itu, Tahir telah membawanya berjumpa beberapa orang hafiz dan mereka memuji kebolehan Hussein.
Malah mereka juga memberitahu bahawa Hussein memerlukan sedikit bimbingan untuk ‘mencantikkan’ lagi bacaannya.
Hussein dimasukkan ke kelas hafazan al-Quran untuk kanak-kanak kurang upaya yang terdapat di Masjid Nabawi.
“Saya bersyukur kepada Allah kerana di sebalik kecacatan Hussein, dia mempunyai kelebihan lain,†ujar Tahir kegembiraan. – MYNEWSHUB.CC