TREND berdakwah dengan cara yang halus dan mudah diterima kini sudah berkembang dalam industri hiburan.
Terbaru, satu ‘surat terbuka’ dari seorang ustaz yang merupakan finalis program dakwah, Da’i Wan atau Wan Dazrin Wan Din kepada pelakon, Uqasha Senrose susulan keputusannya membuka hijab baru-baru ini.
Coretan tersebut dimuat naik Da’i Wan melalui akaun Facebooknya semalam dan dikongsi lebih 12,700 di laman sosial.
Dalam surat tersebut, Da’i Wan menggunakan bahasa yang mudah difahami dan tidak terlalu ‘keras’ supaya pembaca terutamanya Uqasha dapat memahami sekaligus dapat membawa perubahan dari segi cara hidup.
Dia juga menyentuh beberapa perkara terutamanya dari segi pergaulan atau penambahan kawan yang boleh mengubah suasana berkawan.
“Jadi, malam ini saya minta awak ubah suasana awak berkawan. Jangan putus kawan dengan siapa-siapa kini, tapi buat tambahan baru. Saya syorkan, kenal dengan mereka ini, Heliza Helmi, Yatt Hamzah, Felixia Yeap, Irma Hasmie, Safiey Ilias, sertai usrah bersama dengan mereka dan ustazah seperti ustazah Norhafizah Musa atau ustazah Isfadiah contohnya. Bukakan pintu hati awak untuk pergi usrah, at least 1 jam dalam 23 jam yang telah awak gunakan untuk kerja,”Ă‚Â katanya dalam coretan tersebut.
Keputusan Uqasha yang mengejutkan semua pihak itu menerima kritikan hebat dari pelbagai pihak terutamanya netizen, namun Da’i Wan dalam coretannya menasihatkan pelakon teater Ombak Rindu itu untuk bersabar.
“Setiap cemuhan, fitnah, kecaman yang tidak bersudah itu adalah tanda Allah nak lihat, sejauh mana awak berani atau sanggup letakkan harapan pada Allah. Itu sahaja sebenarnya. Allah nak lihat. Awak bergantung tak betul-betul pada-Nya. Awak bulat tak hati untuk-Nya. Awak betul tak bersungguh nak tutup aurat demi-Nya,” katanya.
Da’i Wan menjelaskan surat yang dianggap ‘hadiah’ ini dapat membuka sisi baru Uqasha dan mencuba untuk menjadi lebih baik. – MYNEWSHUB.CC