KOTA BHARU – Seorang wanita yang sedang sarat hamil lapan bulan dijatuhkan hukuman penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret pada Isnin selepas mengaku bersalah mencuri di pasar raya Tesco.
Majistret Ahmad ‘Adha’ Amir Yasser Amir turut mengenakan denda RM3000, dan sekiranya gagal menjelaskan bayaran, hukuman penjara akan ditambah selama tiga bulan.
Pengikut kertas pertuduhan, Tuan Maziham Yasma Tuan Abdul Wahab, 39, didakwa mencuri dua pasang selipar, enam pasang baju, sehelai baju-T kanak-kanak dan tiga pasang sarung tangan bayi yang bernilai RM165.
Tertuduh melakukan kesalahan itu pada jam 3.55 petang, 21 Mac 2009.
Ketika prosiding itu, tertuduh turut memohon agar hukumannya diringankan berikutan mempunyai anak kecil dan suaminya hanya bekerja buruh.
Namun, permintaan tertuduh ditolak berikutan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wong Siew Mun dengan hujahnya mendakwa tertuduh membawa anak-anaknya bersama ketika melakukan kegiatan curi itu.
“Selepas ditahan tempoh hari, tertuduh dibebaskan dengan jaminan polis dan gagal dikesan hingga baru dapat dituduh hari ini. Mohon satu hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada dia dan orang lain supaya tidak mengulanginya,†katanya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Sinar Online