KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius terhadap aktiviti kumpulan pengganas Daesh melibatkan pelajar dan kakitangan institusi pendidikan tinggi (IPT) negara ini.
Sehubungan itu KPT dalam satu kenyataan media memaklumkan akan mempertingkatkan tahap tapisan keselamatan ke atas kemasukan pelajar dan tenaga pelajar asing ke negara ini bagi membendungnya.
KPT turut memaklumkan mengambil beberapa langkah proaktif lain iaitu memantapkan rosedur keselamatan sedia ada di peringkat IPT sebagai langkah pencegahan awal.
“Langkah lain dengan meningkatkan sesi keterlibatan seperti taklimat dan dialog dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguatkuasa yang lain dan penjelasan mengenai aktiviti Daesh juga dimasukkan dalam program-program melibatkan pelajar IPT,” kata kenyataan itu hari ini.
Kata kenyataan itu, KPT akan turut memberi kerjasama sepenuhnya dalam keadaan di mana PDRM perlu mengambil tindakan ke atas pelajar dan warga yang terlibat dalam aktiviti DAESH.
“Kementerian bekerjasama erat dengan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasa lain bagi memastikan keselamatan dan pembelajaran pelajar IPT sentiasa terjamin,” kata KPT. – MYNEWSHUB.CC