SEORANG lelaki mencetuskan kacau bilau di kawasan Trump Tower selepas orang ramai melihatnya memanjat bangunan milik jutawan terkenal yang juga calon presiden dari parti Republikan, Donald Trump, pada Khamis.
Insiden mencemaskan yang berlaku di negara Uncle Sam itu juga menyebabkan pihak berkuasa Amerika Syarikat terpaksa menutup laluan trafik Fifth Avenue, New York.
Difahamkan, lelaki dari Virginia berusia 20 tahun itu bertindak sedemikian kerana mahu bertemu dan ‘berbincang perkara penting secara privet dengan Trump’.
Bagaimanapun, percubaannya selama tiga jam memanjat bangunan setinggi 58 tingkat itu terbantut selepas dia ditarik oleh pihak polis melalui sebuah tingkap di tingkat 21.
Berikutan itu, dia yang mendakwa dirinya ‘penyelidik bebas’ telah dibawa ke sebuah hospital bagi penilaian psikologi.
Nasib lelaki itu lebih malang kerana ketika kejadian Trump dilaporkan tidak pula berada dalam bangunan tersebut.
Trump Tower merupakan ibu pejabat kempen pilihan raya calon presiden Trump serta empayar perniagaannya. Â – MYNEWSHUB.CC