KUALA LUMPUR – Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat adalah sebuah agensi kerajaan yang berdaulat!
Justeru, Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikenali sebagai Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa semua pihak tidak mempertikaikan kenyataan DOJ dalam isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Meskipun beliau mengakui bahawa kenyataan DOJ dalam isu 1MDB sebenarnya cuma satu kes saman ke atas beberapa individu, bukan seperti yang didakwa oleh pemimpin pembangkang sebelum ini tetapi semua pihak perlu menghormati DOJ.
“Jelas di sini DOJ – sebuah agensi kerajaan (AS) yang berdaulat – mempunyai hak untuk mengambil tindakan pelucuthakan dan rampasan ke atas aset yang berkaitan demi menjaga kepentingan AS.
“Apatah lagi, saman tersebut dilakukan ke atas beberapa individu yang diberi hak mempertahankan diri mereka sendiri. Tiada pula kerajaan Malaysia dikaitkan atau dikatakan bersalah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai cubaan DOJ memburukkan kerajaan Malaysia dalam isu 1MDB.
Nik Nazmi seterusnya menggelar Khairy Jamaluddin sebagai seorang macai kerana mempertikaikan kenyataan DOJ. – MYNEWSHUB.CC