NEW DELHI – Seorang duda di India dalam dilema apabila digesa untuk berkahwin semula bagi mendapatkan sambungan gas memasak secara percuma, namun ditentang oleh empat anaknya.
Puttilal Gautam, 45; yang berasal dari Uttar Pradesh, kematian isteri terpaksa berkahwin kali kedua bagi melayakkannya memperoleh gas percuma yang diberi menerusi skim kebajikan Padhan Mantri Ujjwala Yojana (PMUY) dilancarkan pada Mei lalu.
Beberapa permohonan telah dibuat oleh Gautam dengan pengedar tong gas cecair petroleum (LGP) itu, namun gagal. Manakala anak perempuannya tidak layak bagi memohon skim berkenaan kerana terlalu muda.
“Mereka menyuruh saya menghantar isteri dengan dokumen berkaitan untuk tujuan itu.
“Saya memberitahu isteri saya sudah meninggal dunia dan saya ada empat anak. Namun mereka tidak peduli kerana peraturan tetap peraturan,” katanya.
Gautam meminta pertolongan majlis kampung untuk mendapatkan bekalan gas percuma itu dan mereka menasihatkannya supaya berkahwin lagi.
“Anak saya menolak cadangan itu. Mereka tidak mahu ibu tiri. Anak lelaki saya memberitahu mereka akan mengutip kayu dan anak perempuan pula rela membantu saya memasak.
“Garis panduan itu tidak adil terhadap duda. Perdana Menteri India, Narendra Modi perlu meminda peraturan itu.
“Sambungan LPG memerlukan wang sebanyak 5,000 rupee (RM300) di pasaran. Saya tidak mampu. Namun di bawah skim PMUY, ia adalah percuma,” luahnya. – MYNEWSHUB.CC