SATU aplikasi, Too Good To Go membolehkan pelanggan kini memesan sisa makanan di restoran dengan harga yang murah.
Aplikasi itu dilancarkan di Denmark dan kini ia semakin berkembang di United Kingdom (UK) selepas sepasang pengusaha muda, Chris Wilson dan Jamie Crummie tertarik untuk menggunakan cara sama dalam mengelakkan pembaziran di negara mereka.
Tujuan utama aplikasi itu dilancarkan adalah untuk mengelakkan pembaziran makanan.
Di UK sahaja, berjuta ton sisa makanan terbuang setiap tahun dan mengambil langkah untuk mengelakkan masalah itu daripada terus berlanjutan, Chris dan Jamie mula memikirkan langkah yang dirasakan sesuai untuk hal itu.
“Kami akan membeli sisa makanan di setiap restoran dan kemudian akan membungkusnya dalam kotak makanan mesra alam,” kata Chris.
Untuk pengguna Too Good To Go, mereka boleh memesan sisa makanan pada harga rendah bermula dari £2 (RM10.50) hingga £3.80 (RM20.00) untuk setiap hidangan.
Pelanggan boleh melihat menu lebihan makanan yang ada di aplikasi tersebut dan selepas memesan mereka boleh membayarnya sama ada menggunakan kad kredit atau tunai selepas menggambilknya sendiri di suatu tempat yang telah dijanjikan.
Setakat ini, Chris sudah mengikat kontrak dengan 95 restoran di sekitar UK untuk tujuan itu, kebanyakannya restoran kecil-kecilan yang tidak sukar untuk memberikan kerjasama berbanding restoran terkenal lain.
“Kebanyakan makanan kami dapat dari rangkaian restoran kecil dan sederhana sebab kami sukar mendapat kerjasama daripada restoran-restoran besar yang lain.
“Semakin besar dan terkenal sesuatu restoran itu pasti banyak lebihan makanan mereka, tapi itulah mereka sentiasa tiada masa untuk kami duduk berbincang bersama-sama,” ujar Chris lagi. – MYNEWSHUB.CC