GARA-gara memuat naik gambar dirinya digendong raja pecut Usain Bolt dari Jamaica, pelawak dan pengacara terkenal Hollywood, Ellen DeGeneres teruk menerima kritikan dan kecaman.
Ini berikutan, gambar yang diubah suai tersebut dikatakan berunsur perkauman.
“Mulai sekarang, inilah caranya saya mahu menghabiskan kerja-kerja saya,” tulisnya.
DeGeneres memuat naik gambar bersama status itu menerusi laman akaun Twitter, Isnin lalu.
Rata-rata netizen menyifatkan DeGeneres cuba mencetuskan api perkauman.
Tambahan pula, krisis perbezaan warna kulit di negara Uncle Sam itu sememangnya tidak pernah reda dari dahulu.
Kicau seorang pengguna Twitter, imej itu mengimbas kembali zaman perhambaan di Amerika Syarikat ketika orang kulit hitam dijadikan budak suruhan kaum kulit putih.
Tidak mahu isu itu terus berpanjangan, DeGeneres tampil mempertahankan dirinya.
Jelasnya, dia bukanlah individu yang rasis seperti dakwaan orang ramai.
“Saya sangat sedar perkauman yang wujud di negara kita ini. Saya bukanlah orang sebegitu,” jelasnya. – MYNEWSHUB.CC